BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 25, 2010

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

SKBS1 terletak dikawasan kompleks Felda Bukit Sagu 1 iaitu kira kira 35 km dari Bandar Kuantan. Ia mula dibina pada tahun 1981 dan siap pada tahun 1982. Oleh kerana pada masa itu, kemasukan peneroka ke Felda Bukit Sagu 1 tidak selaras, terdapat kira - kira 50 orang peneroka yang berada di felda ini dan hanya 20 orang kanak-kanak sahaja yang layak memasuki sekolah rendah. Buat permulaan, murid - murid yang sedikit bilangannya itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Kuantan yang jaraknya kira-kira 12 km dari sini.



Sekolah ini yang pembinaannya dibiyai oleh Bank Dunia telah dibuka untuk persekolahan pada tahun 1983 denga bilangan murid seramai 72 orang. Pertambahan murid menjdi ketara apabila ramai peneroka mula masuk ke Felda ini, walaupun tidak secara serentak. Pada akhir tahun 1983, sekolah ini mempunyai 250 orang murid. Pada awal 1986, murid-murid sekolah ini berjumlah 350 orang dan dijangka bertambah apabila kediaman peneroka bagi fasa tiga siap dibina.


Pada mulanya sekolah ini dibina untuk menampung murid-murid dari Felda Bukit Sagu 1,2 dan 3 tetapi memandangkan jumlah murid di kawasan ini makin bertambah, maka sekolah bagi Bukit Sagu 2 diwujudkan.

Pada permulaan, sekolah ini mempunyai tenaga pengajar seramai 5 orang sahaja termasuk Guru Besar. Sehubungan itu, darjah dua dan tiga telah dicantumkan menjadi satu kelas. darjah empat dan enam juga dicantumkan. Tahun 1 tidak dicantum kerana kelas KBSR dan darjah 5 juga tidak dicantum keranaPeperiksaan Penilaian Darjah Lima.


Luas kawasan sekolah adalah 4.2 hektar di No. Lot PA 76585. Tenaga pengajar yang ada memang tidak mencukupi untuk menjaga dan mengawal kawasan sekolah tanpa sebarang bantuan dari pekerja. Bagaimana pun, dengan azam dan tekad yang padu, tenaga seramai 5 orang itu telah mula menjalankan tugas masing-masing, termasuk menjaga kecantikan dan kebersihan sekolah.


Pada tahun permulaan, sekolah ini telah berjaya menjadi johan pertandingan kecantikan sekolah bagi tahun 1983 dalam bahagian kumpulan D. Apabila sekolah ini dimasukkan ke dalam kumpulan C pada tahun 1984 dan 1985, sekolah ini berjaya menjadi naib johan bagi kedua-dua tahun berkenaan. Pihak sekolah berbangga kerana dalam keadaan serba kekurangan, sekolah dapat meraih kejayaan walaupun baru setahun jagung.





Pada awalnya, tenaga pengajar yang bertugas di sekolah ini merupakan golongan pendidik baru, melainkan Guru Besarnya yang sudah mempunyai pengalaman selama 18 tahun. Guru Besar, En Aning bin Awang, adalah kelulusan dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. sehingga 1983, sekolah ini mempunyai seramai 17 orang guru dan seorang kakitangan.


Sekolah ini mempunyai 2 blok bangunan yang terdiri daripada 10 buah bilik darjah dan sebuah kantin. daripada 10 buah bilik darjah, dibahagikan kepada beberapa bilik khas iaitu Bilik Guru yang juga dijadikan Bilik Gerakan dan Pejabat Sekolah. Bagaimanapun dua bilik terpaksa digunakan sebagai Pusat Sumber Sekolah.

Untuk menampung 9 bilik darjah , pada tahun 1983, pihak PIBG Sekolah telah bermurah hati mendermakan batang kayu dan plywood dengan menyesuaikan bangunan kantin untuk dijadikan sebuah bilik tambahan untuk menempatkan murid-murid darjah 6. Ini merupakan langkah sementara kerana menjelang pertengahan 1983, bilangan murid baru akan bertambah disebabkan pertambahan peneroka bagi Fasa 3 .

Sekolah ini telah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada tahun 1983. Yang Dipertua PIBG pertama ialah En. Omar b Yusoff, Pengurus Felda Bukit Sagu 1. Penubuhannya telah dirasmikan oleh En. Abdul Jalil b Mohd Yussof, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan. Sungguhpun ditubuhkan pada tahun 1983, Mesyuarat Agung Tahunan Pertama tidak dapat dijalankan pada tahun itu kerana beberapa sebab yang tidak dapat di elakkan.




Mesyuarat Agung yang Pertama telah diadakan pada tahun 1985, dan Perasminya dilakukan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Rahim b Bakar, Timbalan Menteri Tenaga Pos dan Telekom pada 7.7.1985 . Serentak dengan itu juga beliau telah merasmikan Taman Mini Sains Sekolah dengan melepaskan tiga puluh ekor anak ikan " Japanese Carps" ke dalam kolam yang telah dibina oleh PIBG.







Di dalam mesyuarat tersebut, telah ditubuhkan Jawatankuasa Sekolah sebagai Institusi Sekolah (JKSSIM) yang dipercayai penubuhan yang pertama seumpamanya di daerah Kuantan. Pengerusi JKSSIM ini secara kebetulan berada di rancangan Felda Bukit Sagu 1.


Antara kejayaan JKSSIM yang pertama di sekolah ini ialah mengadakan Temasya Sukan Sekolah yang pertama. Projek ini menjadi kebanggaan sekolah kerana keseluruhan perjalanan sukan tersebut dilaksanakan sepenuhnya oleh JKKSIM.











Sungguhpun ramai murid di sekolah ini adalah anak peneroka, ada juga anak-anak pegawai rancangan, pekerja kilang, peniaga, pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (Unit Felda) dan buruh ladang yang bekerja di bawah skim kontrak.













Bangunan Blok D ( di kenali sebagai bangunan gotong royong) di bina pada tahun 1986 secara gotong royong yang memuatkan 4 bilik darjah dari peruntukkan kerajaan sebanyak RM50,000.00. Makmal Komputer Pula dibina dalam tahun 2001 dan digunakan pada tahun 2002.








Bangunan tambahan 2 blok telah dibina dalam tahun 2002. Bangunan ini memuatkan 5 bilik darjah dan bilik-bilik khas yang lain. Pembinaan bangunan tambahan blok A dan B ini di bawah pengawasan JKR Kuantan dan mula digunakan pada tahun 2004.


Mulai tahun 2005, persekolahan satu sesi dijalankan kerana bilangan kelas mencukupi untuk menmpung bilangan murid seramai 426 orang. Bilangan Guru dalam tahun 2005 adalah seramai 26 orang dengan 2 orang staf sokongan.




SUMBER :

Laporan Oleh En Aning b Awang, Guru Besar SKB1 yang Pertama

Laporan bertarikh 5 Januari 2005 Oleh Pn Hjh Zahariah Bt Ibrahim